Wednesday, December 10, 2008

Tawakkal Itu Apa Ya?

Tawakkal bermaksud berserah diri kepada Allah selepas berusaha melakukan sesuatu untuk mencapai apa yang dihajati. Apabila diajukan dengan konsep ini, ramai di antara kita mengetahui dengan sebenar maksudnya. Tetapi pada hakikatnya ialah manusia pada hari ini tidak memahami erti tawakkal dan cara mempraktikkannya dengan betul dan tepat.

Sebagai pelajar di institut pengajian tinggi, kita seharusnya dapat membahagikan masa dengan betul. Mana satu bahagian untuk belajar dan mana satu bahagian lain untuk beribadah. Pada penelitian saya, ramai di antara pelajar dewasa ini tidak banyak menghabiskan masa ibadahnya dengan betul-betul ibadah kepada Allah tetapi apa yang menyedihkan ialah mereka telah mencuri sedikit masa itu dengan memperuntukkannya untuk masa belajar. Hal ini sering berlaku terutamanya apabila peperiksaan menjelang tiba. Bagi kita, seminit itu bagaikan benda yang paling berharga kerana jika dibazirkan maka kita akan kerugian. Pada waktu itulah baru kita mengenal betapa indahnya nikmat masa itu.

Kita sebagai pelajar banyak mengabaikan masa di antara waktu Maghrib dan Isyak. Mungkin kita sering beranggapan bahawa waktu itulah waktu yang paling sesuai untuk belajar dan menghafal. Sebenarnya untuk memperoleh pertolongan Allah, kita sepatutnya meluangkan masa itu dengan duduk beriktikaf di dalam masjid dengan menunaikan solat sunat hajat. Apabila kita berusaha untuk mendapatkan pertolongan Allah, maka Allah akan mengilhamkan cara penyelesaian terbaik bagi sesuatu masalah dan juga dapat membantu kita membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan. Inilah pengalaman yang dirasai sendiri oleh pengarang buku Apakah Amalan Menjauhi Kesusahan Hidup.

Mengapa kita perlu bertawakkal? Jawapannya ialah supaya kita dapat merendahkan diri supaya tidak bersifat takabbur dan juga dapat mengelakkan diri daripada merasakan bahawa kejayaan itu hanya datang daripada usaha sendiri dan bukannya daripada Allah. Jika kita berfikir bahawa kita merupakan manusia yang pandai dan kejayaan itu datang daripada usaha kita, maka berjaga-jagalah kerana ini semua adalah ujian Allah.

Konsep bertawakkal ini boleh juga dilaksanakan dalam solat. Apabila kita sedang bersolat, fikiran sedang serabut memikirkan masalah keluarga dan masalah dunia. Hati tidak tenteram ketika beribadah pada ketika itu. Maka, ada ulama mengatakan bahawa kita perlu menghadirkan lintasan di dalam hati bahawa segala urusan dunia perlu diserahkan kepada Allah. Malah kita juga yakin bahawa Allah merupakan tempat kita mengadu dan bergantung hidup kerana Allah maha bijkasana dalam mengatur kehidupan alam ini.


Selain itu, menurut Surah At-Talaq ayat 3,
Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya (keperluan).


Pada zaman sekarang, manusia bertambah leka dan alpa. Mereka berpendapat segala keperluan hidup hadir kerana usaha mereka sendiri. Tetapi sebenarnya mereka tidak sedar bahawa Allah yang memberi nikmat tersebut kerana Allah maha Pemurah kepada hambaNya. Manakala sifat penyayang Allah pula, Allah akan melengkapkan segala keperluan seseorang hambaNya yang sentiasa mendekatkan diri kepadaNya, Sebagai contoh, Allah akan melengkapkan lagi nikmat-nikmat yang lain seperti makanan, minuman, anak yang soleh dan solehah dan sebagainya.

Jika kita ada membeli majalah Mastika keluaran Disember 2008, kita dipaparkan dengan aksi bagaimana seorang wanita bukan Islam menemui ajal dengan membunuh dirinya dengan terjun dari tingkat 16 sebuah bangunan. Pada pandangan saya, mungkin inilah manusia yang tidak mengenal erti kehidupan yang sebenar. Walaupun kebanyakan manusia yang membunuh diri adalah kaya raya, sudah memiliki kedudukan yang tinggi dan dikenali ramai, tetapi bagi mereka terdapat satu kekurangan yang amat besar, iaitu nikmat Iman dan Islam. Mereka yang belum dikurniakan hidayah Allah akan mencari-mencari kekurangan tersebut. Tetapi malangnya bisikan syaitan memandu mereka supaya membunuh diri. Mungkin itulah cara mereka menemui kebahagiaan dengan membunuh diri.

Merujuk kepada tajuk tawakkal, saya ingin bertanyakan sesuatu kepada pembaca sekalian. Pernahkah anda terfikir bahawa selepas kita berusaha dan bertawakkal, kejayaan itu masih belum lagi datang malah kegagalan pula pula yang menyusul sedangkan kita sudah lakukan syarat-syarat tawakkal itu.


Jawapannya ialah:


Allah maha mengetahui perkara yang lepas, sedang dan yang akan berlaku. Dalam hal ini Allah mengetahui hal yang akan berlaku. Allah tidak akan mengurniakan kecemerlangan kepada seseorang itu kerana Allah tahu akibat yang akan menimpa seseorang itu jika dia berjaya. Barangkali kejayaannya itu akan menyesatkannya daripada menginganti Allah malah sanggup menderhakainya.


Selain itu, Allah tidak memberi kejayaan kerana Allah mahu memberi petunjuk supaya kita dapat memilih haluan hidup yang lebih baik. Sebagai contohnya, saya dahulu bercita-cita mahu menjadi seorang doktor dan ingin belajar di luar negara. Tetapi Allah tidak mengizinkan saya malah Allah telah menunjukkan jalan lain yang lebih baik malah lebih mulia iaitu menuju kearah bidang pendidikan.

Tambahan itu pula, Allah mahu kita supaya berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai cita-cita yang diingini. Ini semua adalah ujian Allah. Barang siapa yang sabar maka tidak lain dan tidak bukan, kejayaan dan kemenanganlah bagi mereka.

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memikirkan kembali konsep tawakkal ini dengan sedalam dalamnya. Walaupun ada yang beranggapan konsep ini merupakan perkara yang kecil tetapi ia sebenarnya mengandung banyak hikmah yang banyaknya tidak dapat dihitung oleh manusia. Hanya Allah yang mengetahui berapa banyak hikmah tawakkal ini. Sekian terima kasih. Wassalam.

No comments:

Post a Comment