Wednesday, December 3, 2008

Pendayung dengan Lelaki Gemuk

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Ilmu di dunia ini sangat banyak. Kadang-kadang sampai kita mampu untuk meletakkan dan menyimpannya ke dalam ruang-ruang kepala. Setinggi mana pun manusia itu belajar pun masih tidak lagi mampu memiliki ilmu milik Allah ini. Subhanallah. Ilmu Allah sungguh besar.
Ilmu yang benar dan wajib ke atas setiap muslim untuk mempelejarinya ialah ilmu agama. Seseorang itu tidak akan dipanggil Islam jika dia tidak tahu tentang Islam walaupun di dalam kad pengenalannya telah tercatat ISLAM. Ilmu agama sungguh penting. Biarlah sekecil mana pun ilmu itu, sekecil-kecil itulah nanti akan membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang bab-bab yang seterusnya.

Saya ada sebuah cerita. Pada suatu hari, ada seorang alim di sebuah kampong itu cuba menyamar sebagai pendayung sampai. Beliau pun berpura-pura berlakon sebagai pendayung sampai di sebuah sungai. Sedang beliau menunggu dan menunggu kedatangan manusia yang ingin menggunakan kudratnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki gemuk yang berkaca mata tebal sambil membawa seguni kitab-kitab agamanya. Apabila orang lain melihat akan lelaki itu lantas mereka akan berkata bahawa lelaki itu meupakan seorang yang rajin belajar dan membaca kerana sifat luarannya yang mengambarkan sedemikian. Apabila sampai dipertengahan jalan, lelaki gemuk itu membuka kitabnya untuk dibaca.

Tiba-tiba, lelaki tersebut menanyakan sesuatu kepada pedayung sampan itu. “Wahai saudara, adakah anda mempelajari tentang nahu (tatabahasa) Arab?”, kata lelaki gemuk itu.

Lantas pendayung sampan itu pun menjawab “Aku tidak mempelajari dan mengetahui sesuatu pun daripada nahu Arab itu”.

Lelaki itu pun membalas “Sungguh malang nasib tuan kerana tidak mempelajari Nahu Arab. Tuan telah kehilangan separuh daripada kehidupan tuan”. Pendayung sampan terdiam tanpa membalas kata-kata tersebut.

Setibanya di tengah-tengah perjalanan, pendayung sampan itu pun bertanya kepada lelaki gemuk itu. “Adakah tuan mengetahui cara berenang?”

Lelaki gemuk itu pun menjawab “Aku tidak tahu menahu lansung akan hal berenang kerana ilmu itu tidaklah sepenting ilmu agama. Aku tidak menyukai ilmu selain ilmu agama.”

Pendayung itu terus bersuara “Alangkah malangnya tuan. Tuan telah kehilangan seluruh hidup tuan kerana tidak memiliki ilmu berenang”.

Lelaki yang terkejut itu pun bertanya semula kepada si pendayung itu dengan nada kehairanan. “Mengapa tuan berkata sedemikian?”

“Saya berkata begitu kerana sekarang sampan yang dinaiki ini akan tenggelam tidak lama lagi kerana perahu sudah bocor.” Jawab si pedayung itu.

Akhirnya perahu itu pun karam bersama-sama lelaki gemuk itu dan kitab-kitabnya. Manakala si pendayung itu Berjaya berenang ketepian untuk menyelamatkan dirinya. Begitulah cerita seorang alim.

Berdasarkan cerita ini, dapatlah disimpulkan bahawa ilmu yang dianggap kecil mampu mengubah seluruh kehidupan kita. Janganlah kita memperlekehkan ilmu itu walaupun ilmu itu tidaklah sehebat mana dengan cabang-cabang ilmu yang lain. Sebagai contohnya apabila seorang ustaz sedang mengajar bab wuduk sedangkan kita mengetahui dengan arif tentang hal ini. Kita yang sudah menguasai ilmu ini tidak duduk bersama dengan Ustaz tersebut untuk mendengar penerangannya. Malah kita cuba memperlekehkan ilmu tersebut. Maka boleh dikatakan bahawa orang seumpama ini ibaratnya sebagai lelaki gemuk yang karam bersama dengan perahu dan kitab-kitabnya. Walaupun kita sudah mengetahui bab berwuduk, tetapi kita tidak bolehlah bersikap sombong kerana ilmu wuduk itu adalah ilmu daripada Allah. Jika kita memperlekehkan ilmu itu, samalah seperti kita memperlekehkan Allah secara sombong. Moga-moga kita dijauhkan daripada hal ini.

Tidak menjadi kesalahan dan berkurangnya ilmu yang sedia ada jika kita duduk bersama mendengar ilmu yang disampaikan walaupun kita sudah sedia mengetahui ilmu tersebut. Jika duduk bersama, Allah akan menambahkan lagi pemahaman kita tentang ilmu tersebut. Malah Allah akan menambahkan lagi ilmu yang tidak kita miliki lagi.

Kesimpulannya, janganlah kita memperlekehkan ilmu yang kecil kerana Ilmu tersebut datangnya daripada Allah. Selain itu, jangnlah kita bersifat sombong kerana sifat sombong itutidak disukai Allah kerana ia tergolong dalam sifat Mazmumah. Jika sebelum ini kita banyak melakukan kesilapan kerana kejahilan kita, maka mohonlah keampunan kepada Allah kerana sesungguhnya Allah menerima taubat hambanya. Sekian Terima Kasih

No comments:

Post a Comment