Monday, November 17, 2008

Majlis Malam Amal SRA.

Semalam aku telah pergi ke Malam Majlis Amal. Majlis tersebut diadakan di sebuah Dewan Serbaguna Sungai Besar. Dewan itu juga terletak berhampiran dengan kediamanku. Aku melangkah masuk ke dalam dewan tersebut. Menungggu aturcara majlis untuk bermula. Sebelum bermulanya majlis jamuan, terlebih dahulu ucapan alu-aluan diperdengarkan.

APabila tiba waktu perasmi berucap mula, aku sudah mula rasa tertarik. Bagi aku, beliau merupakan seorang yang pandai berucap kerana beliau banyak menyelitkan unsur-unsur kerohanian di dalam ucapannya. Untuk memperkukuhkan ucapannya, beliau banyak berpandukan kepada nas-nas Al-Quran dan Hadis.

Pengamatan aku terus tertarik. Aku terus mendengar dan mendengar. Walaupun beliau seorang tua yang kelihatan seperti orang kampung, tetapi sebenarnya beliau seorang yang arif juga di dalam bidang agama selain bidang pentadbiran yang beliau pegang sekarang.

Majlis Amal Mesra itu diadakan bersempena dengan kejayaan yang diperoleh sekolah rendah agama tersebut dalam memperoleh keputusan peperiksaan PSRA yang memberansangkan selain bertujuan untuk mengutip sedikit dana bagi membiayai sekolah tersebut. Malah adik aku juga turut terlibat dalam majlis tersebut.

Beliau mengatakan bahawa janganlah kita meletakkan sekolah agama sebagai sekolah yang kedua selepas sekolah harian. Biarlah kita tidak mampu menghantar anak ke sekolah harian tetapi kita mampu untuk hantar anak ke sekolah agama. Jika kita lihat suasana hari ini, ibu bapa cenderung menghantar anak-anaknya ke sekolah harian kerana mereka percaya dan yakin bahawa masa depan anak-anaknya akan bertambah cerah. Siapa kita mahu menduga perkara akan datang.

Jika kita lihat juga pelajar-pelajar yang berasal daripada sekolah agama dan juga pondok, tiada di antara mereka yang hidup merempat dan mengemis. Malah, kita dapati rezeki mereka semakin bertambah. Maka tidak hairanlah jika Ustaz dan ustazah masa kini ada yang mampu mempunyai sebah kereta mewah seperti BMW dan juga Mercedes. Hal ini kerana siapa yang berjuang pada jalan Allah, Allah akan bantunya denagn pelbagai macam pertolongan.

Beliau juga turut menambah, alangkah indahnya apabila kita selesai solat dan ketika tolehan salam pertama kita melihat anak kita berada di samping kita. Seronok rasanya jika kita mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah. Apabila kita mengangkat tangan untuk berdoa, ketika doa kesejahteraan ibu bapa dibacakan, si anak akan turut mengaminkan doa tersebut. Maka, di dalam doa tersebut juga si anak mendoakan kesejahteraan untuk kita. Alangkah indah dan seronoknya. Bukan mudah untuk memperoleh anak-anak yang begini.

Anak adalah amanah Allah. Tetapi apa yang berlaku sekarang, ibu bapa ada yang sanggup mendera anak-anaknya. Malah apa yang lebih teruk, bagi si penzina wanita, mereka sanggup membunuh anak mereka sendiri. Betapa kejamnya kita kepada anak kita sendiri. Allah maha Esa. Dia mampu menunjukkan kekuasaannya jika dia mahu. Betapa senangnya para penzina untuk melahirkan anak sedangkan amatlah payah bagi sesetengah pasangan halal untuk memperoleh anak.

Ibu terkenal dengan sikap prihatinnya. Setiap kali keputusan peperiksaan beliaulah orang pertama yang akan mengetahui hal ini berbanding bapa. Jika bapa mengetahui hal ini dahulu, seolah-olah perkara itu merupakan perkara yang biasa baginya walaupun keputusan si anak baik atau pun buruk. Lain pula dengan si Ibu. Ibu akan memarahi si anak jika keputusan yang diperoleh tidak memberangsangkan. Dia akan bertanyakan segala macam soalah untuk mengetahui punca masalah yang berlaku. Mengapa dan bagaimana itulah soalah yang kerap kali diajukan. Jika si anak memperoleh markah yang tinggi dalam subjek elektif di sekolah seperti Pendidikan Agama Islam, keputusan tersebut hanya dipandang sebelah mata sahaja. Jika subjek kimia, fizik, biologi tidak memberangsangkan maka si ibu akan memarahi anaknya.

Segala ketentuan masa hadapan si anak bukan bergantung semata-mata kepada si ibu. Tidak menjadi kesalahan jika si ibu begitu prihatin dalam hal ini tetapi terdapat segelintir ibu bapa masa kini yang begitu mementingkan subjek-subjek lain selain subjek agama. Akhlak manusia dibentuk melalui agama. Sebab itulah terdapat peraturan dalam beragama. Maka, manusia yang terbiasa dengan peraturan dan disiplin agama sudah tentulah mereka mampu menempuhi segala macam bentuk dugaan masa kini. Jika agama dipinggirkan, maka Allah juga akan pinggirkan kita. Yakin dan percayalah kepada Allah sebagai penentu masa hadapan.

Sebab agama dipinggirkan oleh ibu bapa masa kini, maka lebih banyaklah gejala sosial yang melanda kita pada hari ini. Jadilah seperti ibu bapa misali dan janganlah jadi ibu bapa yag menyesali. Segala yang baik itu datangnya dari Allah. Dan yang buruk itu datang dari kelemahan dan kesilapan diri saya sendiri.
Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

No comments:

Post a Comment