Saturday, August 14, 2010

Tinggal Lagi Seminggu.

Bukan tinggal seminggu lagi nak raya...
Bukan tinggal seminggu lagi nak merdeka...
Bukan tinggal seminggu lagi nak balik kamppung.


Tapi tinggal seminggu lagi untuk aku mengharungi detik-detik pahit akan meninggalkan sekolah yang mengajar aku erti ketabahan menjadi seorang guru di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama. Bermula dari 28 Jun aku mendaftarkan diri dan hingga kini, semua kenangan manis itu sentiasa terbayang-bayang di dalam fikiran aku ketika ini. Sedikit sayu dan hiba bila mengenangkan detik-detik manis bersama rakan-rakan guru terutamanya dua orang guru pembimbing major dan minor. Kesemua mereka adalah yang terbaik di sisiku walaupun hanya 8 minggu sahaja kita bersama.


Pada minggu hadapan akan bermulalah pemerhatian terakhir dan bersama di antara pensyarah pembimbing dan guru pembimbing terhadap pengajaran aku. Pada waktu ini, aku tidak bersedia apa-apa lansung. Hanya mengharapkan idea saat-saat akhir menerjah dalam ruang minda yang sedang kosong. Apa yang boleh dibuat pada waktu ini melainkan duduk merenung komputer riba sambil menghabiskan masa-masa kosong.


Praktikum pada kali ini betul-betul menguji tahap kesabaran dan pemikiran aku. Banyak keringat diperah setiap hari untuk memikirkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terbaik buat murid-muridku. Kelas yang diajar olehku hanyalah kelas 4 Gigih, 4 Cekal dan 4 Setia. Setiap kelas yang ku ajar mempunyai ragamnya yang tersendiri. 4 Gigih terkenal dengan semangat belajarnya dan semangat bermain di padang. Kelas 4 Cekal pula terkenal dengan skemanya manakala kelas 4 Setia merupakan satu-satunya kelas yang menguji tahap minda dan jiwa aku sebaga seorang guru praktikum.


Sedang aku asyik mengajar dan mengajar, kadang-kadang aku terbayang suatu kenangan di zaman dahulu sewaktu aku di bangku persekolahan. Banyak ragam yang telah kuperhatikan yang pernah dilakukan olehku ketika di alam sekolah rendah. Dengan ragam meniru dalam peperiksaan, malas membuat kerja rumah, rajin menolong cikgu itu semuanya merupakan kenangan aku ketika zaman kecil dahulu. Tetapi kini, dengan apa yang guruku lakukan terhadapku pada waktu dahulu telah menjadikan aku sebagai penerus perjuangan mereka pada masa ini.

No comments:

Post a Comment