Sunday, July 18, 2010

Program Bacaan Yasin SKKU

Pada hari Khamis tanggal 15 Julai, aku telah menghadirkan diri ke Sekolah tempatku berpraktikum kini. Sebagai seorang guru pelatih, adalah wajib bagi aku melibatkan diri dengan perkara seumpama ini sebagai persediaan untuk bergelar sebagai guru yang disahkan jawatan.


Setibanya aku di sana, murid-murid diajak duduk dalam dewan sambil mengalunkan beberapa zikir mengingati Allah sementara menuggu berkumandangnya azan Maghrib. Ustaz Suhail telah ditugaskan mengalas tugasan ini sebagai ketua penzikir. Aku pula bertugas kepada timbalan kepada Ustaz Suhail. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.


Penyertaan guru sekolah itu pula boleh dikatakan hampir 60 peratus telah menghadirkan diri. Tidak semua guru dapat menghadirkan diri ke sekolah berikutan terdapatnya kekangan masa dan faktor lain seperti urusan keluarga dan seumpama dengannya. Perkara seumpama ini tidak menjadi masalah kerana semuanya masih lagi berjalan dengan baik.







Friday, July 16, 2010

Tidak Tahu Menolak.

Assalamualaikum.
Pada hari ini sudah genaplah 3 minggu aku menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama bagi fasa dua pada tahun ini. 3 minggu walaupun kelihatan singkat tetapi aku telah berjumpa dengan pelbagai kerenah dan masalah murid.


Pagi tadi, aku telah mengajar mereka mengenai topik Pengukuran: Penolakan ukuran panjang. Aku telah mengajar kelas 4 Setia. Menurut turutan kelas, aku mengajar kelas yang hujung-hujung. Aku bercadang untuk tidak terlalu fokus pada tahap perkembangan konsep dengan terlalu lama. Aku lebih berharap mereka akan berjumpa dengan konsep tersebut pada langkah penilaian melalui aktiviti kelas.


Seperti biasa, 4 Setia akan menunjukkan muka yang mengantuk dan membosankan tentang pengajaranku. Aku sudah biasa dengan mereka. Itu pun aku mengajar dalam Bahasa Melayu hampir 95 peratus. Kalau 100 peratus Bahasa Inggeris, tentu mereka terlopong dan tergangga. Habis teruk pun mungkin mereka akan tertidur.


Akhirnya tibalah pada tahap penilaian, aktiviti kelas. Aku telah menayangkan soalan untuk mereka dengan menggunakan projektor sekolah. Pada waktu itu, mereka seperti mendapat satu lesen untuk bergerak ke sana ke mari. Ada yang berjalan ke hadapan makmal komputer dengan harapan dapat melihat dengan lebih jelas soalan pada layar. Hampir 10 orang berkerumun di hadapan layar putih untuk menyalin soalan yang ditayangkan.


Alhamdulillah....ada yang di antara mereka yang dapat menjawab soalan yang diberikan. Setibanya aku pada seorang murid ini, dia bertanya kepadaku tentang cara melakukan proses penolakan. Aku terkejut kerana masalah ini tidak mungkin dihadapi oleh murid tahun 4 kerana penambahan dan penolakan semuanya telah dikuasai dalam tangan mereka. Cuma masalah pendaraban dan pembahagian memerlukan pemahaman dan latihan yang lebih.


Bila aku ajukan soalan mudah seperti : 5 tolak 1.
Dia lantas menjawab 4. Tetapi apabila aku ajukan pula 20 tolak 11. Terdongak murid itu bagai mencari jawapan yang mungkin berterbangan di atas kepalanya dengan harapan jawapan itu muncul di hadapannya.


Aku lantas menambah lagi.
Penambahan tahu? Murid menjawab tahu.
Pendaraban tahu ? Murid menajawab tahu.
Penolakan dan pembahagian? Murid senyap tanpa bahasa...


Aku mendapati murid itu mengalami masalah konsep peminjaman ketika penolakan. Apabila penolakan gagal dikuasai, sudah tentu pembahagian turut akan gagal. Ini kerana pembahagian merupakan penolakan yang berulang.

Wednesday, May 5, 2010

Score 5A tapi menjadi 5E.

Apa cerita disebalik tajuk di atas, Score 5A tetapi menjadi 5E pula.

Begini, sewaktu aku di sekolah sambil berpraktikum, aku duduk berbual-bual dengan seorang ustaz di kantin sekolah. Kami bersembang seperti biasa. Lama-kelamaan, ustaz itu cuba mengalihkan cerita perbualan kepada yang lebih serius lagi.

Ustaz itu memberi teka teki sama seperti tajuk di atas. Aku menjadi pusing mencari jawapan yang betul. Banyak jawapan aku cuba namun tak berjaya. Akhirnya aku give up dan ustaz itu pun memulakan ceritanya.

Begini...
Ibu bapa zaman sekarang, masing-masing berkeinginankan anak-anak mereka memperoleh keputusan yang cemerlang dalam 5 mata pelajaran teras di sekolah iaitu BM 1, BM 2, Matematik, Sains dan BI. Terdapat juga ibu bapa yang begitu ekstrim yang mana mereka mahukan anak mereka score 100% untuk setiap subjek tersebut. Jika anak tersebut gagal walaupun mencapai matlamat, ibu bapa akan memarahi anak mereka. Fuh...jika aku berada pada kedudukan si anak, tentu habis keringat diperah dan habis idea satu persatu dikeluarkan.

Memang diakui matapelajaran seperti Matematik dan Sains amat diperlukan pada zaman sekarang. Tetapi adakah mata pelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Jasmani perlu diketepikan?

Ada satu kes di mana ada seorang murid dalam ujian bulanan telah memperoleh keputusan yang membanggakan iaitu dengan mendapat keputusan 5A bagi subjek peperiksaan. Tetapi alangkah malangnya bagi murid itu kerana dia tidak pun mencapai keputusan A bagi subjek Pendidikan Islam. Adakah ini yang dibanggakan oleh ibu bapa?

Adakah murid yang mendapat 5E tetapi A dalam Pendidikan Islam dianggap bodoh mahu pun hina? Nyata masyarakat kita sudah tersilap dengan bayangan A yang menghantui diri setiap kali peperiksaan menjelang?

Kesimpulannya, tidak ada gunanya jika 5A tetapi E Pendidikan Islam berbanding dengan murid yang peroleh 5E tetapi A dalam subjek Pendidikan Islam. Jika murid tidak kuasai asas agama yang kukuh sejak di bangku sekolah rendah lagi, bagaimana pula dengan pemahaman mereka tentang agama di hari tua nanti?

Sebab itulah terjadinya masyarakat yang
BERZINA,
ROGOL,
BUANG ANAK,
MEMBUNUH,
MEMFITNAH,
BERJUDI,
MINUM ARAK,
MENDEDAH AURAT.

Saya bertanya kepada diri, apa peranan aku sebagai GURU akan hal ini?


Realiti Sekolah

Pada semester ini, aku telah dihantar bertugas sebagai guru praktikum di sebuha sekolah bandar di kawasan Serdang. Aku dikehendaki mengajar matapelajaran Matematik sekolah rendah bagi darjah 5 dalam bahasa Inggeris. Aku diperuntukkan 8 waktu atau pun 4 jam seminggu.

Dalam sibuk-sibuk berpraktikum, kadang kala aku ditugaskan untuk menggantikan masa guru yang tiada di sekolah yang dikenali sebagai "Relief". Tidak banyak waktu pun aku ditugaskan. Hanya 2 atau 3 masa sahaja seminggu. Aku beruntung kerana di sekolah itu terdapat banyak guru praktikum yang datang dari maktab yang lain. Jadi, tugasan Relief mereka lagi banyak daripada aku.

Dalam sibuk menyiapakan rancangan mengajar dan juga membina alat bantu mengajar yang menarik, aku didatangi oleh kerani sekolah. Aku diberikan keratan kecil kertas relief yang berwarna biru. Aku dikehendaki masuk menggantikan masa barangkali seorang Ustazah hanya selama 30 minit pada waktu 12.40 hingga 1.10 petang.

Apabila tiba waktunya, aku pun bersegera ke kelas itu dengan harapan aku dapat mengajar serba sedikit ilmu agama yang ada pada diriku ini. Rupa-rupanya waktu itu merupakan waktu "Tasmik" bagi mata pelajaran Al-Quran.

Aku melihat seorang demi seorang murid-murid yang berada di dalam kelas itu. Adakah ini muridnya yang ingin mempelajari mata pelajaran yang paling mulia ini?

Rupa-rupanya majoriti daripada pelajar perempuan tidak mengenakan tudung di kepalanya. Bagaimanakah mereka mempelajari ayat-ayat Allah sedangkan aurat mereka terbuka dan terdedah. Bagaimana dengan adab mereka dengan Al-Quran?

Aku tidak menyalahkan ustaz atau ustazah sekolah itu kerana tidak menasihati mereka, tetapi hal ini berpunca daripada istitusi keluarga yang bermasalah dengan agama. Sama-sama kita perhatikan dan ambil iktibar daripada cerita ini. Apa peranan guru masa kini?