Friday, September 3, 2010

I-City Shah Alam.

Dalam ketika menjalani ibadah puasa di siang hari dan terawikh di malam hari, pada malam satu ramadhan telah dipilih sebagai tarikh keramat untuk sekumpulan pelatih guru dari pangkalan IPG Kampus Pendidikan Islam terutamanya Blok B bertolak ke Shah Alam untuk menziarahi apa sebenarnya yang berlaku di sebuah tempat yang dinamakan sebagai I-City.

I-City terletak di Shah Alam yang berada dalam lingkungan pengaruh negeri Selangor Darul Ehsan di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merupakan Menteri Besar yang ke-14 . Dalam perjalanan ke sana, aku telah mengetuai segerombolan sembilan buah motorsikal. Perjalanan kami telah bermula dari Bangi, Puchong dan akhirnya Shah Alam. Apa sebenarnya yang menarik di sana?

Di sana bukanlah tempat yang boleh dilawati bila-bila waktu tetapi mempunyai waktu-waktu yang tertentu. I-City hanya boleh dilawati pada waktu malam bagi membolehkan kita menghayati keindahannya yang sebenarnya. Kadang-kadang orang pernah berkata bahawa cahaya merupakan satu nikmat. Tetapi kita perlu juga ingat bahawa gelap juga merupakan satu nikmat daripada Allah. Tanpa kegelapan tentu nikmat cahaya itu tidak dapat diperhatikan dan dihalusi dengan hati.

Dalam ruang wacana yang terhad ini, aku ingin mengambil kesempatan yang ada ini untuk berkongsi bersama pembaca yang berada di luar sana tentang salah satu tempat yang menarik untuk dilawati di Shah Alam Bandar Terancang. Dalam kesempatan ini juga, aku ingin memuat naik beberapa hasil gambar yang berjaya diambil dengan menggunakan kamera Digital Single-lens Reflect yang dibeli pada 18 Julai yang lalu.