Wednesday, July 28, 2010

Ku Mencari...: Kehidupan Kini

Ku Mencari...: Kehidupan Kini: "Sedar tak sedar sekarang sudah pun masuk minggu ke-5. Masih berbaki lagi 3 minggu untuk aku menamatkan minggu praktikum yang boleh dikataka..."

Kehidupan Kini

Sedar tak sedar sekarang sudah pun  masuk minggu ke-5. Masih berbaki lagi 3 minggu untuk aku menamatkan minggu praktikum yang boleh dikatakan menyeksakan tetapi seronok kalau tiada pemantauan oleh pensyarah.


Sejak bergelar guru praktikum, aku rasakan diriku ini semakin berat dan berat. Bukan kerana masalah berat badan yang semakin meningkat tetapi masalah beban tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang guru.


Kehidupan aku kini juga amat berbeza dengan kehidupan dahulu. Kini aku sudah pun berjinak-jinak dengan kehidupan yang bebas tanpa belenggu peraturan maktab yang menyeksakan lagi memeningkan. Bukan kerana peraturan yang dicipta tetapi pelaksanaannya oleh sesetengah pihak yang menjadikannya rumit dan bermasalah untuk diikut.


Sekarang aku sudah pun menetap di luar kampus. Memang jauh berbeza dengan dalam kampus. Setiap langkah aku kini tidak lagi dibelenggu rantai peraturan yang menyebabkan langkahku terbehenti seketika. Tetapi kini aku sudah pun bebas dan senang kerana aku bebas melakukan apa sahaja di dunia luar kampus. Masa makan, mandi, dan aktiviti lain mudah sahaja dilaksanakan tanpa halangan sesiapa pun.


Praktikum makin hari makin susut jumlah harinya. Penat dan sibuk bukan kepalang. 





Tuesday, July 27, 2010

Biar Pun Tak Hensem

Beruntunglah dengan apa yang kita ada. Walaupun kita tidaklah seberapa indah rupa dan paras berbanding rakan yang lain tetapi aset inilah yang menjadi penolong aku semasa di sekolah.

Aku ditugaskan mengajar tahun 4. Aku mengajar subjek Matematik tahun 4 Setia dan 4 Gigih. Satu kelas pandai dan satu lagi kelas yang lemah. banyak ragam dan pengalaman sepanjang aku mengendali kelas ini. 

Aku bersama dengan 3 kawan praktikum lelaki dan 4 orang rakan praktikum di sekolah yang sama. Bagi kawan-kawan yang lelaki, mereka mempunyai rupa paras yang indah berbanding aku. Bukan aku mahu merendah diri, tetapi itulah hakikatnya kerana makin hari, aku makin gemuk. Ha...ha.... Bila dah gemuk, mestilah tak hensem. tu yang aku rasa lah...

Aset diri yang tak berapa nak hensem dan badan yang bertubuh besar, menjadikan aku yakin untuk menjadi seorang cikgu. Sebabnya...budak-budak sekolah tu tak berapa berani nak cuba mengurat aku. Bukan aku nak perasan tapi itulah yang terjadi pada guru-guru praktikum di tempatku.

Biasanya murid perempuan akan cuba mengurat cikgu lelaki dengan harapan mereka sentiasa mendapat perhatian setiap kali guru praktikum masuk ke kelas. Setakat ini, aku pernah berdepan dengan pelajar perempuan yang cuba untuk mendapatkan perhatian daripadaku. Apa aku buat ialah dengan membiarkannya hanyut dengan perhatiannya. Aku hanya fokus pada masalah pembelajaran. Jika ada pun perhatian untuk mereka, aku hanya akan meluangkan sedikit ruang untuk mereka dengan harapan mereka tidak memandangku sebagai guru yang tidak prihatin. Aku mahu menjadi guru yang prihatin dan bukannya guru yang pilih kasih.

Biasanya, muka yang tak hensem yang dicampur pula dengan badan yang besar menjadikan kita memiliki satu aset diri bagi menggelakkan diri kita daripada menjadi bahan mainan murid. Biasanya guru praktikum sentiasa menjadi tempat mereka mendapatkan perhatian, kasih sayang dan bermacam-macam lagi. Benda seumpama ini bagi aku adalah boleh cuma perlu dikawal dan tidak berlebihan.

Sunday, July 18, 2010

Jangan Salahkan orang lain.

Aku ada mendengar beberapa guru merungut dengan kelakuan dan gelagat guru lelaki. Ada guru perempuan berbisik mengenai hal ini tentang ketidakpatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan. Lantas ada juga yang di antara mereka yang sibuk menyoal dan menduga tentang masalah guru lelaki sesama mereka. Maka terhasillah kesimpulan mudah dengan mengatakan bahawa guru lelaki merupakan guru yang malas dan tidak bertanggungjawab.


Bagi seorang lelaki, aku menyangkal dakwaa ini. Kita tidak boleh memandang guru lelaki sebagai golongan yang malas. Kerana masing-masing baik lelaki mahu pun perempuan mempunyai peranan dan kelebihan masing-masing. Pada pencerapan dan penilaian aku, guru wanita lebih suka menjalankan tanggungjawab mengajar dan mendidik murid-murid dan juga lebih suka menghadiri mensyuarat dan melakukan kerja-kerja yang membosankan bagi sesetengah kaum lelaki.


Manakala pula, guru lelaki bukannya malas untuk menghadiri mensyuarat atau pun malas melakukan tanggungjawabnya. Ini mungkin kerana terdapatnya masalah lain yang tidak kurang pentingnya dengan hal sekolah. Mungkin guru lelaki perlu menguruskan tanggungjawabnya yang lain sebagai seorang ketua keluarga, mendidik anak-anak dan lain-lain lagi. Tetapi guru lelaki lebih berminat dengan aktiviti mencabar. Aktiviti mencabar seperti menjaga murid berkhemah di sekolah kebiasaannya lebih banyak diceburi oleh guru lelaki berbanding guru wanita. Selain itu juga, aktiviti sukan sekolah juga kebanyakkan memerlukan kerahan tenaga guru lelaki.


Oleh hal yang demikian, kita tidak boleh terus menilai lantas menghasilkan konklusi mudah kerana kedua-dua mahkluk Allah ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kelemahan sendiri pun  kita tidak mampu untuk menilai, inikan pula kelemahan orang lain yang jauh daripada diri kita. Pengjaran untuk aku juga sebagai seoang guru nanti...

Program Bacaan Yasin SKKU

Pada hari Khamis tanggal 15 Julai, aku telah menghadirkan diri ke Sekolah tempatku berpraktikum kini. Sebagai seorang guru pelatih, adalah wajib bagi aku melibatkan diri dengan perkara seumpama ini sebagai persediaan untuk bergelar sebagai guru yang disahkan jawatan.


Setibanya aku di sana, murid-murid diajak duduk dalam dewan sambil mengalunkan beberapa zikir mengingati Allah sementara menuggu berkumandangnya azan Maghrib. Ustaz Suhail telah ditugaskan mengalas tugasan ini sebagai ketua penzikir. Aku pula bertugas kepada timbalan kepada Ustaz Suhail. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.


Penyertaan guru sekolah itu pula boleh dikatakan hampir 60 peratus telah menghadirkan diri. Tidak semua guru dapat menghadirkan diri ke sekolah berikutan terdapatnya kekangan masa dan faktor lain seperti urusan keluarga dan seumpama dengannya. Perkara seumpama ini tidak menjadi masalah kerana semuanya masih lagi berjalan dengan baik.







Friday, July 16, 2010

Tidak Tahu Menolak.

Assalamualaikum.
Pada hari ini sudah genaplah 3 minggu aku menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama bagi fasa dua pada tahun ini. 3 minggu walaupun kelihatan singkat tetapi aku telah berjumpa dengan pelbagai kerenah dan masalah murid.


Pagi tadi, aku telah mengajar mereka mengenai topik Pengukuran: Penolakan ukuran panjang. Aku telah mengajar kelas 4 Setia. Menurut turutan kelas, aku mengajar kelas yang hujung-hujung. Aku bercadang untuk tidak terlalu fokus pada tahap perkembangan konsep dengan terlalu lama. Aku lebih berharap mereka akan berjumpa dengan konsep tersebut pada langkah penilaian melalui aktiviti kelas.


Seperti biasa, 4 Setia akan menunjukkan muka yang mengantuk dan membosankan tentang pengajaranku. Aku sudah biasa dengan mereka. Itu pun aku mengajar dalam Bahasa Melayu hampir 95 peratus. Kalau 100 peratus Bahasa Inggeris, tentu mereka terlopong dan tergangga. Habis teruk pun mungkin mereka akan tertidur.


Akhirnya tibalah pada tahap penilaian, aktiviti kelas. Aku telah menayangkan soalan untuk mereka dengan menggunakan projektor sekolah. Pada waktu itu, mereka seperti mendapat satu lesen untuk bergerak ke sana ke mari. Ada yang berjalan ke hadapan makmal komputer dengan harapan dapat melihat dengan lebih jelas soalan pada layar. Hampir 10 orang berkerumun di hadapan layar putih untuk menyalin soalan yang ditayangkan.


Alhamdulillah....ada yang di antara mereka yang dapat menjawab soalan yang diberikan. Setibanya aku pada seorang murid ini, dia bertanya kepadaku tentang cara melakukan proses penolakan. Aku terkejut kerana masalah ini tidak mungkin dihadapi oleh murid tahun 4 kerana penambahan dan penolakan semuanya telah dikuasai dalam tangan mereka. Cuma masalah pendaraban dan pembahagian memerlukan pemahaman dan latihan yang lebih.


Bila aku ajukan soalan mudah seperti : 5 tolak 1.
Dia lantas menjawab 4. Tetapi apabila aku ajukan pula 20 tolak 11. Terdongak murid itu bagai mencari jawapan yang mungkin berterbangan di atas kepalanya dengan harapan jawapan itu muncul di hadapannya.


Aku lantas menambah lagi.
Penambahan tahu? Murid menjawab tahu.
Pendaraban tahu ? Murid menajawab tahu.
Penolakan dan pembahagian? Murid senyap tanpa bahasa...


Aku mendapati murid itu mengalami masalah konsep peminjaman ketika penolakan. Apabila penolakan gagal dikuasai, sudah tentu pembahagian turut akan gagal. Ini kerana pembahagian merupakan penolakan yang berulang.